Cinta Si Remaja
- Sarah Deanna binti Saiful Yew (JIA160060)
Cerpen pada kali ini adalah
dari Dhia Erryna yang berjudul Cinta Si Remaja. Plot permulaan apabila
seorang pelajar baru bernama Airin Darwina masuk ke sekolah berasrama sewaktu
di Tingkatan Empat. Sewaktu Airin memperkenalkan dirinya, Ikmal Hafiz melihatnya sambil tersenyum. Selepas itu mereka pernah terserempak beberapa kali namun tidak pernah bersuara, hanya berpandangan
dan berbalas senyuman. Sehinggalah suatu hari mereka ditakdirkan untuk makan
berdua di dewan makan.
Plot bertukar menjadi perkembangan apabila Airin menerima sepucuk surat daripada Ikmal yang
mengajak Airin untuk bercinta dengannya. Seminggu selepas itu, Ikmal
menerima surat balasan daripada Airin. Penulis menggambarkan bahawa mereka sudah mula
mengenali antara satu sama lain. Dalam masa yang sama, kita dapat lihat bahawa mereka masih dapat mengawal diri dengan membahagikan
masa antara bercinta dan pelajaran.
Perumitan berlaku apabila mereka sibuk hendak menduduki SPM, muncul orang berhati busuk yang ingin merampas
kebahagiaan yang mereka miliki iaitu Zanita. Ini membuatkan Airin dan Ikmal
berkata sepakat untuk memutuskan hubungan mereka walaupun sukar untuk mereka
mengungkapkan ayat itu. Airin bertekad untuk melakukan yang terbaik untuk SPM dan memulakan hidup yang baru. Selepas SPM dan pelajar mula beransur
pulang untuk meninggalkan zaman persekolahan selama-lamanya, Airin dan Ikmal
berselisih namun kedua-duanya kelu untuk berkata apa-apa. Penulis meleraikan cerita ini dengan memberitahu bahawa kedua-dua watak masih menyayangi antara satu sama lain.
Rumusan daripada cerpen ini adalah menerangkan mengapa remaja tidak digalakkan untuk bercinta adalah kerana remaja masih belum kuat untuk menghadapinya lagi. Akan
tetapi, perkara ini sentiasa berlaku dan dikenali sebagai cinta seusia remaja
ataupun cinta monyet. Namun, pengajaran yang dapat kita pelajari adalah pembelajaran haruslah diutamakan seperti yang dilakukan oleh watak utama. Sebagai pembaca, kita dapat lihat bahawa pengarang dapat menyusun dari satu ke satu plot dengan baik dan teratur. Ini memudahkan pembaca untuk memahami teks yang cuba disampaikan oleh pengarang.
Cerpen :
Cinta Si Remaja
Karya : Dia
Erryna
Sumber :
Penulisan2u
http://www.penulisan2u.my/cerpen-cinta-si-remaja/